KETIKA budaya K-pop popular dan diminati
kalangan generasi muda negara ini, seorang ahli akademik Korea Selatan
pula mengakui beliau menyukai tulisan jawi. Penulis berpeluang menemu bual Prof
Dr Kang Kyoung Seok dari Busan University of Foreign Studies, yang
memberikan pandangannya mengenai tulisan jawi dan budaya Melayu.
Dr Kang, 57, yang fasih berbahasa Melayu, begitu meminati semua perkara mengenai tulisan jawi, yang disifatkannya begitu indah.
“Budaya Melayu ini, daripada
lagunya, bahasanya, semua amat halus dan lembut membuatkan saya jatuh
cinta terutama lenggok tulisan jawi,” kata Dr Kang.
Cinta Kepada Tulisan Jawi
Cinta Dr Kang kepada tulisan jawi berputik pada tahun 1974 ketika belajar di sebuah Universiti di Korea Selatan.
“Pensyarah saya masa itu beritahu
bahawa Malaysia memiliki tulisan unik diberi nama tulisan jawi. Bila
saya tanya apa itu tulisan jawi, pensyarah saya tidak tahu. Di Korea
masa itu, tiada buku tulisan jawi, rujukan mengenai jawi pula amat
kurang. Namun itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus mengkaji
tulisan ini,” katanya.
Pada 1982, pertemuan Dr Kang dengan
seorang pendakwah Islam bernama Abdul Ghani yang berasal dari Pattani,
Thailand di Busan, merupakan titik penting percintaannya dengan tulisan
jawi.
Melalui Abdul Ghani, Dr Kang
mengenali huruf jawi dan sistem penulisan ini. Buku tulisan jawi
bertajuk ‘Sejarah Melayu Pattani’, menjadi kegemarannya pada masa itu. Dr Kang membulatkan tekadnya untuk
pergi ke Malaysia bagi mendalami tulisan jawi dan pada tahun 1984
impiannya menjadi kenyataan apabila mendapat tawaran melanjutkan
pengajian di Universiti Malaya. Namun persepsi rakyat Korea Selatan
terhadap Malaysia pada masa itu menjadi cabaran besar bagi Dr Kang dalam
merealisasikan impiannya.
“Masa itu Korea Selatan tidak
mengenali Malaysia seperti sekarang. Kita sekarang kawan baik. Dulu
orang Korea tengok Malaysia sebuah negara yang mundur, miskin dan banyak
masalah.
“Ibu bapa saya masa itu menangis
tidak mahu benarkan saya pergi Malaysia, tetapi saya sudah cintakan
tulisan jawi dan saya mahu pergi belajar tulisan itu di Malaysia,”
katanya. Setelah melakukan kajian terhadap
tulisan jawi sejak sekian lama, Dr Kang mengakui amat tertarik dengan
kitab Al-Quran yang disifatkanya sebagai anugerah paling bernilai buat
umat Islam di seluruh dunia. “Paling menarik perhatian saya
bagaimana tulisan jawi dalam kitab Al-Quran mampu menghasilkan cara
bacaan yang amat indah sekali. Saya selalu dengar orang baca di tilawah
Al-Quran, amat indah dan buat jiwa saya tenteram,” katanya.
Jawi, Penyambung Legasi Bangsa
Dr Kang berkata generasi muda
Malaysia sekarang tidak menyedari betapa bertuahnya mereka memiliki
sebuah warisan unik yang menjadi identiti dan penyambung legasi bangsa.
“Tulisan jawi sekarang sudah tenat,
tidak ramai generasi muda tahu membaca dan menulis jawi. Bilangan pakar
jawi juga semakin berkurangan kerana ramai pakar yang saya kenali telah
bersara tanpa ada pengganti,” katanya.
Dr Kang menyertai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai pensyarah pada 2010.
“UPSI sebuah universiti yang
mendidik guru. Jadi bila saya ajar guru ini tulisan jawi, mereka akan
ajar tulisan jawi ini kepada anak murid mereka, yang juga generasi muda
negara ini. Maka semakin ramai tahu tulisan jawi,” katanya.
Beliau berkata pelbagai langkah
perlu diambil oleh pihak berkuasa pendidikan supaya kembali kepada
sistem ejaan jawi Za’ba yang lebih ringkas dan mudah difahami. Media memainkan peranan penting
dalam memastikan tulisan jawi digunakan secara lebih meluas. Dr Kang
berharap akhbar yang menggunakan bahasa jawi seperti Utusan Melayu
diberi nafas baru untuk menarik minat rakyat Malaysia. Selain itu, pihak terlibat seperti
Institut Terjemahan Negara Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka perlu
memainkan peranan dalam menterjemah lebih banyak buku ke tulisan jawi.
Malaysia ‘Cikgu’ Saya
Mengimbau kenangan Dr Kang semasa
pertama kali menjejakkan kaki di bumi bertuah ini, Dr Kang menyedari
persepsi rakyat Korea terhadap Malaysia meleset sama sekali.
“Keluar lapangan terbang saya lihat
kemajuan Malaysia di sana sini, bangunan tinggi. Macam-macam jenis
kereta saya jumpa, kereta mewah seperti BMW dan Mercedes pun ada,”
katanya.
Selain itu, beliau turut tertarik
kepada keunikan masyarakat berbilang kaum di Malaysia yang hidup aman
damai dan bekerjasama dengan baik bagi memajukan negara.
“Masa saya datang ke Malaysia, saya
amat tertarik dengan konsep ini kerana masa itu Korea tidak banyak
campuran bangsa di sana. Bila dunia semakin berubah, sekarang ramai
bangsa lain datang ke Korea.
“Jadi Korea belajar untuk sesuaikan
diri dengan pelbagai bangsa ini, tetapi Malaysia sudah lama belajar
tentang ini dan saya belajar dengan Malaysia,” katanya. Dr Kang turut tertarik dengan
percampuran budaya antara kaum di negara ini, mewujudkan sebuah
masyarakat yang mempunyai identiti tersendiri seperti masyarakat baba
nyonya di Melaka.
Beliau berkata masyarakat berbilang
kaum ini membuatkan Malaysia menjadi sebuah negara yang kaya dengan
pelbagai kesenian dan kebudayaan yang diwarisi sejak berkurun lamanya.
“Apa yang menarik perhatian saya
bagaimana budaya Melayu boleh berada di tengah-tengah dan menjadi
pengikat semua budaya ini. Budaya Melayu ini amat istimewa, memang ramai
pengkaji asing yang sukakanya termasuk saya,” katanya.
Dr Kang berpesan kepada generasi
muda Malaysia: “Bagus jika kita memahami budaya lain dan tidak salah
meminati K-pop. Tetapi jangan kita terlalu taksub hingga budaya dan
identiti sendiri dipinggir dan dilupakan,” katanya. -FADZLI RAMLI, Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan