Maulidur Rasul ( kelahiran Rasul) adalah hari
bersejarah keputeraan Nabi Muhammad. Hari kelahiran Nabi Muhammad S.A.W
jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi yang
jatuh pada pada Isnin (Dari hadith riwayat Muslim, 8/25), 12 Rabiul
Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571. Baginda
adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala.
Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan
mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. Banyak
kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu
Wataala kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis
Maulidur Rasul.
Pengorbanan Rasullulah
Antara individu yang paling banyak melakukan pengorbanan ialah
Rasulullah SAW. Baginda bukan sahaja melakukannya untuk anggota
keluarga, tetapi juga untuk seluruh umatnya. Bayangkanlah… Baginda
sanggup dihina, dicerca dan dicederakan semata-mata mahu melihat
sekalian umatnya beriman kepada Allah sekali gus menjadi penghuni kepada
syurga-Nya. Lihatlah… Bukankah itu pengorbanan yang cukup besar? Dan
pernahkah Rasulullah meminta minta balasan atas setiap pengorbanannya?
Baginda pernah bersabda yang bermaksud: “Orang yang
paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya)
dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu
dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.” (Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).
Justeru, sikap saling mengungkit pengorbanan yang dibuat dalam
keluarga sama ada oleh suami, isteri mahu pun anak-anak bukanlah suatu
yang wajar dilakukan. Malah, Islam tidak senang dengan cara sebegitu.
Ungkit-mengungkit tidak akan memberikan kita rasa tenang dan damai. tetapi jika kita melihatnya sebagai satu tanggungawab dan lambang kasih
sayang dalam keluarga, tidak mustahil kita boleh kembali tersenyum
girang.
Cubalah kita contohi sikap terpuji Rasulullah s.a.w. Pada masa yang sama
kita renungkan sejenak. Kalaulah dalam keluarga sendiri kita boleh
bersikap ‘cukup berkira’ melakukan pengorbanan, bagaimana pula kita
dengan orang luar? Jikalau pun kita hanya melakukannya kepada keluarga,
pernahkah kita terfikir orang luar boleh melakukan perkara yang sama?
Ingatlah, kehidupan ini berputar ibarat roda. Jika hari ini kita
berbuat tidak baik terhadap orang, suatu hari kita juga akan menerima
nasib yang sama.
Salam Maulidur Rasul kepada warga SK Taman Bunga Raya 1 yang beragama islam
dan para pelajar sekalian. Moga ukhuwwah kita antara umat
islam dan bukan islam terpelihara dan sejahtera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan