Air mata yang mengalir melintasi kedua pipi merupakan gambaran perasaan hati seseorang. Itulah yang disebut dengan menangis. Suatu hari Aisyah RA menangis, lalu ditanya oleh Rasulullah SAW, “Apa yang menyebabkanmu menangis, wahai Aisyah?” Ia menjawab, ‘Setiap kali teringat neraka, aku selalu menangis. Apakah engkau ingat kepada keluargamu di hari kiamat nanti wahai Rasulullah?’
Rasulullah SAW bersabda, “Ada tiga tempat di mana manusia tidak akan teringat kepada sesamanya. Pertama, ketika kitab catatan amal manusia diterbangkan, di waktu itu seseorang tidak tahu apakah kitab itu diberikan dari arah kanan atau kirinya? Kedua, ketika ditegakkan timbangan amal (mizan) sehingga seseorang mengetahui berat atau ringan timbangan amal baiknya. Ketiga, ketika berada di jambatan penyeberangan (as-shirat) sehingga seseorang mengetahui apakah dia berhasil atau malah terjatuh ke dalam api neraka.
Ibnu Qayyim Al-Jauziyah menyebutkan sebab-sebab seseorang menangis: menangis kerana kasih sayang, kerana takut, kerana cinta, kerana kehilangan seseorang, kerana gembira, kerana cemas, kerana sedih, kerana merasa hina, kerana kemunafikan, kerana ikut-ikutan dan menangis kerana sebab yang lainnya.
Sedangkan menangisnya Aisyah RA tersebut merupakan tangisan yang berasal dari suara hati kerana dorongan iman, lalu diwujudkan dengan tindakan. Inilah titisan air mata yang akan mampu memadamkan panasnya samudera api neraka.
Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Apabila air matanya mengalir melintasi pipi, maka wajahnya tidak akan terkotori oleh debu kehinaan. Apabila seseorang pada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan dirahmati. Tidaklah ada sesuatupun yang tidak mempunyai kadar dan batasan kecuali air mata, sesungguhnya air mata itu dapat memadamkan lautan api neraka.”
Dalam sabdanya yang lain, “Ada dua biji mata (manusia) yang tidak akan tersentuh oleh api neraka, mata yang menangis di waktu malam hari kerana takut kepada Allah dan mata yang menjaga pasukan fi sabilillah di malam hari.”
Sedangkan sesuatu yang dapat menyelamatkan diri dari perbuatan dosa adalah rasa takut kepada Allah akan azab api neraka. Rasa takut ini yang mendorong seseorang untuk selalu menghindar dan berhati-hati terhadap amalan yang dimurkai Allah SWT.
Kerana itu, Ali bin Abi Thalib berpesan, ”Wahai anak Adam, janganlah kalian merasa bangga kerana kekayaan, jangan berputus asa kerana kefakiran, jangan merasa sedih kerana ujian, dan janganlah kalian berbahagia kerana kelapangan. Sesungguhnya bagi orang saleh itu semua adalah ujian. Kalian tidak mungkin dapat menggapai apa yang kalian idam-idamkan kecuali dengan cara menahan hawa nafsu dari melakukan kemaksiatan. Sekali-kali kalian tidak akan meraih apa yang kalian cita-citakan kecuali kalian bersabar terhadap apa yang kalian benci. Maka curahkanlah potensimu dalam menjalankan kewajiban Allah atas dirimu.” Wallahu a’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan